KUMPULAN CERPEN
BERGURU PADA BINATANG
BAHA ZAIN
EDISI KHAS SASTERAWAN NEGARA















Sang Raja Rimba telah mengarahkan semua rakyat dan pemimpin binatang berhimpun di depannya. Ada yang datang menjalar, ada yang merayap, ada yang terbang, dan ada yang melompat. Tiba-tiba rimba raya itu jadi gegak-gempita dan segala pokok serta semak samun bergoyang bergegar.
"Ketahuilah semua ketua binatang, aku hendak mewakilkan kepimpinan aku kepada salah seorang daripada kamu. Aku hanya ingin jadi penasihat. Tetapi ingat! Segala kata putus tetap kekal di tangan aku," kata Sang Singa yang nampak menggerunkan itu.
"Ada apa-apa pertanyaan?" sambungnya.
Tiba-tiba seekor kucing memberanikan dirinya untuk bertanya, "Bagaimanakah kami yang kecil-kecil ini boleh menjadi pemimpin menggantikan Sang Raja Rimba?"
"Aku akan ajarkan ilmu-ilmunya. Yang penting buat permulaannya, engkau harus minat untuk menjadi ketua. Ingat, kali ini siapa yang akan mengambil alih akan juga menjadi pemimpin kepada manusia," terang Sang Singa.
Lagi semua yang hadir menjadi semakin bingung, terutama babi-babi dan cacing-cacing yang bodoh itu. "Kenapa manusia mahu dipimpin oleh binatang?" tanya kucing dengan jujur.
"Manusia sudah tidak percaya lagi kepada orang. Mereka sudah tak nampak perbezaan antara pimpinan sebangsanya dengan pimpinan kita." Demikian raja singa itu cukup bermurah hati untuk melayan segala pertanyaan.
"Jangan buang masa lagi. Aku akan memilih salah seekor daripada kamu bangsa yang terbang, atau bangsa yang berjalan empat kaki, bangsa yang berenang, atau bangsa yang menjalar. Seminggu lagi calon-calon yang mewakili kelompok-kelompok kamu datang menghadap aku dan terangkan kenapa aku harus melantik salah seorang daripada kamu." Demikian singa menyudahkan keterangan dan arahannya.















Setelah cukup seminggu datanglah punai mewakili burung, kucing mewakili binatang kaki empat, buaya mewakili haiwan di air, dan cacing mewakili benda hidup yang menjalar. Masing-masing berlumba untuk menunjukkan kebolehan dan meyakinkan raja singa tersebut.
Maka berkatalah punai, "Yang Mulia, saya telah berkempen ke merata tempat dan ramai yang bersetuju saya jadi ketua. Saya telah menggalakkan makhluk supaya hidup jujur, aman damai, dan buat kerja-kerja yang dibenarkan saja."




"Hah! Kejujuran bukanlah sifat yang penting untuk mengetuai binatang, apa lagi manusia. Sudahlah, engkau tak layak," dengus singa tanpa banyak alasan. Mendengar perkataan aman damai pun ia berasa tidak selesa.
Tibalah giliran kucing. "Saya juga telah menemui pelbagai jenis orang dan haiwan. Walaupun saya tidak boleh melompat jauh dan taring tidak sehebat tuan, mereka percaya kepada saya kerana saya bersih dan mudah diajak berunding."
"Ah! Itu hanya sebahagian sahaja daripada nilai-nilai kepimpinan. Tidak cukup," jawab Sang Raja Rimba.



Ia berasa seolah-olah diperli apabila kucing mengatakan mudah diajak berunding.
Buaya yang dari mula memang yakin terpilih kerana badannya yang besar dan berduri-duri itu menjadi semakin optimis. Pesaing yang tinggal hanya cacing yang tak masuk kira itu, fikirnya.
"Saya telah menjelajah teluk dan tanjung untuk mendapatkan fikiran daripada benda-benda hidup di air dan di darat. Nampaknya semua yakin dengan kebolehan saya hidup di sungai dan di darat. Bagaimana pendapat tuan?" tanya Sang Rangkak, buaya.





"Ya! Memang kualiti dan kebolehan untuk hidup dalam dua alam itu adalah antara sifat-sifat seorang pemimpin. Tetapi engkau ini gelojoh sedikit, tak dapat membezakan antara bangkai dan bukan bangkai. Sapu semua," jawab singa.
Si cacing tidak menyangka bahawa sekalian binatang yang lebih besar daripadanya tertolak awal-awal lagi. Ia tidak pernah membayangkan akan berpeluang untuk mengajukan kesnya. Dengan penuh yakin dan tenang ia berhujah.
"Saya memang mengetahui bahawa untuk menjadi pemimpin memerlukan sifat-sifat yang istimewa. Lain daripada yang lain. Bukan
kejujuran, bukan kebersihan, dan bukan kegagahan tetapi kehalusan yang mendalam. Saya bukan sahaja boleh masuk ke dalam lubang tanah untuk mengetahui apa yang ada di dalam bumi, tetapi boleh masuk ke dalam badan manusia untuk mengetahui isi perutnya. Tidakkah ini yang paling mustahak untuk menguasai manusia, unggas, dan haiwan - iaitu sesudah kita mengetahui perasaan dan fikirannya?" ujar cacing dengan panjang lebar.
Sang Singa mulai berasa tidak sabar mendengar ucapan yang bertele-tele itu. Apa lagi ianya diucapkan oleh cacing yang susah untuk dilihatnya kerana melekap di celah-celah rumput itu. "Eh! Cacing kerawit, aku tahu asal usulmu yang keluar bersama-sama tahi
manusia. Engkau ini bercakap saja pandai, tetapi susah orang hendak tahu di mana kepala, di mana ekor. Sama saja hujung dan pangkal." Raja Singa meninggikan suara terhadap si cacing yang memang bersama-sama suku sakatnya selalu membuat buntut singa gatal dan merenyam di atas kerusi takhtanya. Cacing-cacing ini selalu mengganggunya dan sulit baginya untuk menanggalkannya. Betul-betul parasit yang degil.
Akhirnya, Sang Raja Rimba membuat keputusan muktamad, tak ada siapa yang layak menggantikannya. Sebenarnya, ia cuma hendak menguji apakah ada sesiapa yang mengidam untuk mengambil tempatnya.
- Full access to our public library
- Save favorite books
- Interact with authors

- < BEGINNING
- END >
-
DOWNLOAD
-
LIKE(3)
-
COMMENT()
-
SHARE
-
SAVE
-
BUY THIS BOOK
(from $4.79+) -
BUY THIS BOOK
(from $4.79+) - DOWNLOAD
- LIKE (3)
- COMMENT ()
- SHARE
- SAVE
- Report
-
BUY
-
LIKE(3)
-
COMMENT()
-
SHARE
- Excessive Violence
- Harassment
- Offensive Pictures
- Spelling & Grammar Errors
- Unfinished
- Other Problem

COMMENTS
Click 'X' to report any negative comments. Thanks!