BAHA ZAIN
KUMPULAN CERPEN
BERGURU PADA BINATANG






Antara binatang yang paling comel dan cerdik di hutan adalah kancil. Walaupun ia sedar akan kemasyhurannya sebagai makhluk yang selalu dipuji cerdik dan boleh memperdayakan binatang lain yang lebih besar daripadanya, ia masih belum berpuas hati dengan apa yang ada pada dirinya.
Pada suatu hari, tibalah musim kebanyakan binatang berpindah ke hutan lain kerana sumber makanan yang ada semakin pupus. Seperti biasa, kancil tidak akan berjalan di depan kerana semak samun, pohon-pohon dan ranting akan menghalang pergerakannya. Ia mengambil keputusan untuk menunggu dahulu.
Kancil menunggu gajah bergerak dan akan mengekori kawanan binatang yang besar itu dari belakang. Segala pohon yang ada menjadi ranap dan rata, dan ini memudahkan kancil berjalan dengan lancar melalui denai gajah, tanpa mengeluarkan banyak tenaga untuk meranduk semak samun yang tebal.
Beberapa ekor daripada kawanan gajah tersebut telah mematahkan dahan-dahan besar dan pohon-pohon yang menghalang. Sambil berjalan, sambil memakan pohon-pohon pisang hutan dan pucuk-pucuk muda yang dijumpainya. Gajah perlu memakan apa yang terjumpa bagi mengganti semula tenaganya yang keluar semasa dalam perjalanan.
Kancil memerhatikan sahaja di samping mengambil kesempatan juga memakan pucuk-pucuk segar yang tersisa. Sambil bergerak itu, kancil berfikir-fikir alangkah hebatnya badan gajah itu. Kata hatinya, kalau aku memiliki badan yang sebesar gajah, tentulah aku akan menjadi binatang yang terhebat di dalam rimba. Bukan sahaja otak aku pintar, badan aku juga besar. Tentu aku lebih ditakuti dan terhormat di dunia ini.
Dalam berangan-angan itu, sesekali ia memerhatikan juga kepala gajah yang besar itu. "Sayang, kepala sahaja besar, otak di dalamnya kecil,"katanya sendirian.


























Setelah beberapa lama berjalan mengekori gajah, tiba-tiba kancil terperanjat besar. Gajah melepaskan najisnya berlambak di atas tanah. Hampir menimpa kepala kancil. Berlonggok macam busut. Kancil terhenti dan kemudian segera berundur memerhati longgokan najis gajah itu dari jauh. Ia tidak menyangka sedemikian besar longgokan itu.
Kancil pernah terjumpa longgokan benda seperti itu pada masa lalu, tetapi tidak tahu itu najis gajah. Sekarang, ia baru faham, bahawa najis sebesar itu adalah hasil daripada binatang yang besar dan gagah.
Sekonyong-konyong terlintas di kepalanya yang cerdik itu, "Kalau aku tak dapat mempunyai badan yang sama besar, tetapi dapat mengeluarkan najis yang sama besar, itu sudah bagus. Sesiapa yang melihat najis aku yang besar akan percaya bahawa badan aku juga besar."
Kancil berikhtiar bagaimanakah untuk berak besar seperti gajah itu makan tak henti-henti dan dengan banyaknya. Tentulah itu sebabnya, maka gajah berak besar. Ia pun terus makan dengan gelojohnya dan mengunyah sehingga perutnya penuh sebu.
Pada keesokan paginya, ia berasa senak perut. Dalam hatinya
sudah tiba waktunya ia akan menghasilkan sesuatu yang dihajatinya. Senak perut itu beralih menjadi sakit perut. Dalam sakit-sakit itu, ia terus melayani angan-angan yang besar. Sakit perut itu kemudian tidak mendatang-datang lagi, tetapi berterusan. Kancil tidak tahan lagi. Ia terus meneran, tetapi najisnya tidak mahu keluar.
Ia meneran dengan sekuat-kuat hatinya, tetapi tidak juga berhasil kerana najisnya menjadi keras, mampat, dan terlalu besar untuk khususnya yang kecil itu.
Kancil berhempas pulas dan berguling-guling di atas tanah.
- Full access to our public library
- Save favorite books
- Interact with authors

- < BEGINNING
- END >
-
DOWNLOAD
-
LIKE(1)
-
COMMENT()
-
SHARE
-
SAVE
-
BUY THIS BOOK
(from $3.59+) -
BUY THIS BOOK
(from $3.59+) - DOWNLOAD
- LIKE (1)
- COMMENT ()
- SHARE
- SAVE
- Report
-
BUY
-
LIKE(1)
-
COMMENT()
-
SHARE
- Excessive Violence
- Harassment
- Offensive Pictures
- Spelling & Grammar Errors
- Unfinished
- Other Problem

COMMENTS
Click 'X' to report any negative comments. Thanks!